• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KADAR PENGAGGURAN DI SABAH MENINGKAT


Datuk Masidi Manjun

2 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada kadar pengangguran di Sabah.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini kerana pelaksanaan PKP telah memberi impak dan menjejaskan banyak syarikat perniagaan melibatkan pelbagai sektor ekonomi di negeri ini sehingga ada yang terpaksa ditutup.


Beliau berkata, ini disebabkan mereka tidak dapat menampung kos perbelanjaan operasi termasuklah pembayaran gaji pekerja sehingga menyebabkan syarikat-syarikat tersebut terpaksa memberhentikan pekerja.


“Ini tercermin daripada kenaikan kadar pengangguran di Sabah pada suku tahun pertama tahun 2020 sahaja iaitu 3.9 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2019 (Laporan Statistik Tenaga Buruh, 2020),” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia termasuk di Sabah akan meningkat tahun ini berikutan impak penularan pandemik Covid-19.


“Sungguhpun demikian, Kerajaan optimis untuk melaksanakan usaha bagi memastikan impak daripada pandemik Covid-19 ke atas sektor-sektor utama di negeri ini khususnya sektor pekerjaan dapat diminimumkan.


“Ini termasuklah merangsang semula sektor-sektor ekonomi utama negeri ini meliputi sektor perkhidmatan, pertanian, pembuatan dan pembinaan yang secara langsung dijangka akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Sabah pada masa hadapan khususnya yang disebabkan oleh pandemik Covid-19,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com