• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KANAK-KANAK SATU TAHUN ANTARA LAPAN KEMATIAN DILAPORKAN DI SABAH DAN LABUAN


9 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kanak-kanak berusia satu tahun antara lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Sabah termasuk satu di Wilayah Persekutuan Labuan, pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian itu dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Tuaran dan Hospital Labuan.

Beliau berkata, kanak-kanak lelaki tempatan berumur satu tahun itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent Sandakan, mempunyai latar belakang penyakit jantung berlubang, sindrom down dan Hipotiroidisme.

“Dua lagi kes kematian dilaporkan di hospital yang sama melibatkan lelaki tempatan berusia 51 tahun, mempunyai latar belakang penyakit strok dan wanita bukan warganegara berumur 65 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Kes kematian di Hospital Queen Elizabeth pula melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun dan wanita bukan warganegara berusia 55 tahun.

“Satu kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan seorang lelaki tempatan, 53 tahun dan wanita tempatan berumur 71 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuaran.

“Kes kematian di Labuan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun mempunyai latar belakang darah tinggi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di seluruh Malaysia adalah sebanyak 294 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com