• nabalunews

COVID-19: KES BAHARU 1,054 KES,12 KEMATIAN


3 NOV 2020

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali mencatatkan angka empat digit iaitu 1,054 kes, selain mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 34,393 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,135 kes.

Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kini adalah 263 kes.

“Daripada jumlah kes baharu, 1,040 kes adalah penularan dalam negara manakala 14 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Sebanyak tujuh kes penularan tempatan melibatkan mereka yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lepas adalah 478 kes.

“Bagi kes import ia melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara yang tiba dari Korea Selatan dengan empat kes, Jepun dan Filipina (masing-masing dua kes), dan satu kes masing-masing dari Uzbekistan, China, Hong Kong, Nepal, United Kingdom dan Republik Maldives,” katanya.

Memperincikan kes baharu penularan tempatan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 678 kes diikuti Selangor (124), Labuan (81), Negeri Sembilan (71), Pulau Pinang (35), Sarawak (21), Kedah (12), Kuala Lumpur (10), Putrajaya (tiga), Perak (dua) dan masing-masing satu kes di Johor, Melaka dan Terengganu.

“Sabah mencatatkan 678 kes daripada keseluruhan kes positif harian. Sebanyak 310 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS). Daripada jumlah itu, Kluster Rumah Merah menyumbang 229 kes atau 73.9 peratus.

Bagaimanapun kes baharu yang lebih tinggi ini berikutan lebih banyak saringan yang dijalankan di negeri-negeri yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com