- Wartawan Nabalu News
COVID-19: KES BAHARU DI SABAH MELONJAK NAIK HAMPIR 300 KES PADA HARI INI

25 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah melonjak naik kepada 266 kes pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,828 kes dan tiga kes kematian direkodkan di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Penampang. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata peningkatan tersebut adalah berpunca dari hasil dari saringan kontak rapat yang merekodkan 118 kes, saringan kluster (93 kes), saringan bergejala (30 kes) dan lain-lain (25 kes).
“Tawau terus mencatatkan kes positif tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 76 kes, diikuti Kota Belud (29 kes), Kota Kinabalu dan Kalabakan masing-masing dengan 25 kes, Kunak (20 kes), Papar (16 kes), Lahad Datu (15 kes), Penampang (13 kes), dan Sandakan (12 kes). "Manakala Tuaran (sembilan kes), Kuala Penyu (tujuh kes), Keningau (enam kes), Semporna dan Kinabatangan masing-masing empat kes, Putatan (tiga kes) serta satu kes direkodkan di Kudat dan Pitas. “Daerah-daerah lain tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini dan Sipitang, Nabawan, Tambunan, Beluran, Telupid dan Tongod berada di zon hijau,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Masidi berkata, seramai 89 orang pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif discaj dari hospital atau sembuh sebanyak 58,887 orang. Seramai 1,140 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 384 orang di hospital, 755 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. “Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 53 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.