top of page
  • nabalunews

Covid-19: Kes baharu Sabah menurun ke 784


2 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Kes harian Covid-19 di Sabah menurun ke 784 kes hari ini dengan kebanyakan daerah mencatatkan penurunan kes harian, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 199,629 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata ini membantu mengekalkan trend penurunan kes secara keseluruhan di Sabah.


"Jumlah kes keputusan saringan yang tertunggak juga terus berkurangan. Hari ini cuma lima kes yang lewat daftar melebihi lima hari, 13 kes lewat antara empat hingga lima hari dan 257 kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas saringan keputusan diketahui.


"Pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 yang memerlukan rawatan di hospital juga kekal rendah pada satu digit. Hari ini Kategori 3 terdapat dua kes, Kategori 4 tiga kes dan Kategori 5 cuma satu kes.


"Pesakit-pesakit dalam Kategori 1 pula terdapat 179 kes, Kategori 2 544 kes sementara 55 kes lagi masih dalam siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Daripada 784 kes hari ini, Masidi berkata 483 kes merupakan pesakit Kontak Rapat, 216 kes daripada kategori Bergejala dan 12 kes daripada Kluster sedia ada.


Manakala, 73 kes lagi diperolehi melalui saringan-saringan lain dan terdapat 14 kes yang melibatkan banduan.


Tambahnya, secara keseluruhan, 95.9 peratus kes hari ini melibatkan warganegara Malaysia.


"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 1,109, menjadikan jumlah kumulatif 182,598 orang.


"Manakala 2,887 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,098 orang di hospital, 1,766 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala tujuh orang di fasiliti swasta.


"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 139 orang merangkumi 127 di ICU serta 12 di kubikel akut dan 51 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan."


Sementara itu, sebanyak 13 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes masing-masing di Lahad Datu dan Sandakan manakala masing-masing satu kes di Putatan, Tuaran, Pitas, Nabawan, Semporna dan Kota Kinabalu.