top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: KES POSITIF MENURUN KEPADA 230 KES, 3 KES KEMATIAN DIREKODKAN



15 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah hari ini mencatatkan penurunan sebanyak 43 kes iaitu daripada 273 kes kelmarin kepada 230 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 66,546.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini masing-masing di Tawau, Papar dan Semporna.


Menurut beliau daripada 230 kes jangkitan baharu hari ini, 105 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 75 kes adalah daripada saringan kluster, 16 kes adalah daripada saringan bergejala, 21 kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.


“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, sembilan daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Enam daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu, Sandakan (-22), Tawau (-16) dan jumlah kes positif Covid-19 di daerah Kota Kinabalu hari ini adalah 49 kes (-37) dengan 24 kes adalah daripada Kluster Ocean Blue.


“Walau bagaimanapun, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan 11 daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala satu lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kota Belud 17 kes (+14), katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.


Manakala, lapan daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Kinabatangan, Pitas, Kota Marudu, Ranau, Kuala Penyu dan Tenom.


"Secara keseluruhan, perubahan angka yang tidak statik di daerah bukan Zon Hijau dan hanya satu (1) daerah berzon hijau sangat signifikan kepada kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan kepada SOP yang telah digariskan.


Mengenai jumlah pesakit sembuh, Masidi berkata, hari ini sebanyak 298 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 63,525 orang.


“Manakala 2,051 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 519 orang di hospital, dan 1,532 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.