• nabalunews

COVID-19: KES SEMBUH 4,076, KES BAHARU 3,585, 11 KEMATIAN - KP KESIHATAN



26 Jan 2021

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,076 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 149,160 kes atau 78.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu pandemik itu hari ini iaitu sebanyak 3,585 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 190,434 kes.


"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah 40,574 kes.


"Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,583 kes," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi sebanyak 1,295 kes diikuti Kuala Lumpur (610 kes) dan Johor (516 kes).


Memperincikan mengenai jumlah kematian yang dicatatkan hari ini, beliau berkata sebanyak 11 kes direkodkan iaitu empat di Kuala Lumpur, tiga di Sarawak dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.


Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 280 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 111 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.


Katanya Kementerian Kesihatan mengenal pasti tujuh kluster baharu hari ini, melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, satu kluster keagamaan dan satu kluster pusat tahanan.


Menurut beliau, kluster baharu membabitkan tempat kerja dikenal pasti di Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan, kluster komuniti dikesan di Johor dan Terengganu, manakala kluster keagamaan di Kedah dan kluster pusat tahanan di Terengganu. - Bernama