• nabalunews

COVID-19: KKM TAMBAH HOSPITAL DI SABAH

Updated: Feb 2


gambar hiasan

11 OKTOBER 2020

OLEH WARTAWAN NABALU NEWS

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah satu lagi hospital bagi merawat pesakit COVID-19 di negeri Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan hospital di negeri ini sebanyak tujuh buah untuk merawat kes COVID-19 dan memerlukan penjagaan rapi terutama kategori tiga hingga lima.

Beliau berkata, hospital itu ialah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Dauchess of Kent Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau dan Hospital Kota Marudu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi kesemua tujuh hospital di negeri ini ialah 946 katil,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Noor Hisham berkata, KKM juga telah mengenal pasti enam lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), menjadikan keseluruyhan 16 pusat bagi merawat kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2).

“Jumlah katil bagi 16 PKRC bagi seluruh Sabah adalah 3,876 katil.

“Oleh itu, jika sebelum ini kapasiti katil bagi merawat pesakit COVID-19 di Sabah adalah 2,596 katil, kini ianya melonjak kepada 4,822 buah katil,” katanya.


Beliau berkata, sebagai langkah kesiapsiagaan hospital di Pantai Timur Sabah, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang merancang mewujudkan hospital medan di Tawau.

Katanya, para pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di hospital medan khususnya untuk perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes COVID-19 kategori 3 hingga 5, manakala kes-kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan PKRC. Perancangan awal adalah bagi menempatkan 100 katil di hospital medan ini,” katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com