• nabalunews

COVID-19: KLUSTER BAHARU DIKENALPASTI DI KOTA BELUD DAN KOTA KINABALU


9 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini, dikenali sebagai Kluster Nahaba melibatkan Kota Belud dan Kluster Numbak Kota Kinabalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi Kluster Nahaba dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 24 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Seri Bayu Pirasan, Kota Belud.

“Sehingga 9 November (hari ini), jam 12 tengah hari, sejumlah 65 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif (24 kes baharu) dan 40 individu dikesan negative,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi Kluster Numbak pula, kes indeks ini dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19. Sehingga 9 November (hari ini), jam 12 tengah hari, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif (3 kes baharu), tujuh individu dikesan negative dan enam individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya enam kluster baharu dilaporkan di seluruh negara pada hari ini.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com