- Wartawan Nabalu News
COVID-19: KLUSTER BAHARU MELIBATKAN BEAUFORT, SANDAKAN DAN KOTA KINABALU

20 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, melibatkan daerah Beaufort, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Balibata, dan Kluster KKIP Selatan.
Beliau berkata, Kluster Balibata, melibatkan tiga kes baharu di Beaufort dan Sandakan menjadikan jumlah kumulatif 35 kes.
"Kes indeks bagi kluster ini dikesan semasa saringan merentas negeri balik ke Semenanjung dari Sabah pada 11 Januari lalu yang telah menghadiri pengebumian dan majlis tahlil arwah ibunya di Kg Balibata, Beaufort.
"Saringan kontak rapat pula mendapati 34 lagi individu positif termasuk empat ahli keluarga di Sandakan. Aktiviti saringan masih giat dijalankan," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kluster kedua ialah Kluster KKIP Selatan melibatkan tujuh kes baharu di Kota Kinabalu dengan jumlah kumulatif 14 kes.
Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini dikesan melalui kes saringan individu bergejala pada 11 Januari lalu di klinik kesihatan swasta dan merupakan individu bukan warganegara yang bekerja di kilang pembuatan mi.
"Saringan tempat kerja dan kontak rapat mendapati 13 lagi kes positif," katanya.