• nabalunews

COVID-19: KOMPAUN IKUT 3 KATEGORI KESALAHAN BAWAH AKTA 342



17 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan tiga kategori kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berhubung Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dalam keputusan dimuktamadkan, hari ini, tiga kategori kesalahan itu ialah tinggi, sederhana dan normal.



Mengikut garis panduan itu, beliau berkata, kompaun turut dihadkan kepada kadar tertentu mengikut jenis kesalahan, selain penetapan diskaun berdasarkan tempoh bayaran dibuat.


"Kerajaan memutuskan tiga kategori kesalahan bawah Akta 342. Pertama, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau memberi impak jangkitan COVID-19 dalam komuniti pada skala besar.


"Kedua, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi, namun tidak memberi impak jangkitan COVID-19 pada individu.


"Ketiga, kesalahan boleh menyebabkan risiko penularan jangkitan COVID-19 yang rendah dan tiada kesan langsung penularan dalam komuniti. Ini lebih kepada individu," katanya pada sidang media di Putrajaya.


Takiyuddin berkata, kesalahan kategori pertama termasuklah pengamal perubatan tidak melaporkan kes positif COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan (KKM), mengingkari arahan pegawai diberi kuasa, atau mereka yang dijangkiti enggan ditahan di hospital, di mana ketiga-tiga kesalahan itu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.


"Selain itu, kesalahan kerana berada di pub atau kelab malam akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000, manakala peniaga yang membuka pub dan kelab malam dikenakan maksimum RM50,000 kerana dianggap kesalahan kategori tinggi," katanya.



Takiyuddin berkata, antara kesalahan kategori kedua pula ialah masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dikenakan kompaun RM3,000.


Seterusnya, kesalahan enggan mematuhi perintah berkaitan kawasan PKPD yang akan dikenakan kompaun RM4,000, dan enggan memberi maklumat berkaitan kawasan PKPD (RM4,000 untuk individu dan RM20,000 bagi syarikat).


Beliau berkata, kategori ketiga membabitkan kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis, yang akan dikenakan kompaun RM1,500.


Bagaimanapun, katanya, syarikat atau premis yang tidak mematuhi waktu operasi boleh dikompaun RM10,000.


Mengenai potongan kadar kompaun pula, Takiyuddin menjelaskan, diskaun sebanyak 50 peratus diberikan jika individu atau syarikat membayar dalam tempoh tujuh hari, dan 25 peratus sekiranya membayar dalam tempoh 14 hari.


"Bagi rakyat yang ada masalah seperti orang kurang upaya (OKU), orang miskin, pelajar berusia 18 tahun ke bawah dan mereka yang ada penyakit kronik, boleh membuat rayuan kepada KKM.


"Di Labuan, rayuan boleh dikemukakan kepada tiga kategori pegawai, iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) dan pegawai kesihatan epidemiologi.


"Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula, rayuan boleh dikemukakan kepada empat kategori pegawai, iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), pegawai kesihatan daerah serta pegawai kesihatan epidemiologi daerah.


"Mereka hanya perlu mengisi borang permohonan pengurangan kompaun dan mengemukakan bukti seperti kad bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kad OKU, kad pelajar atau surat pengesahan kesihatan," katanya. - BHarian