- Wartawan Nabalu News
Covid-19: Kota Kinabalu terus catat kes tertinggi

31 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 60 kes pada hari ini pertambahan 14 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, faktor penyebab berlakunya peningkatan kes mendadak di Kota Kinabalu adalah disebabkan terdapat 25 kes baharu melibatkan Kluster Bahtera Kinabalu.
“Bagi daerah Kota Kinabalu, selain kes daripada Kluster, sebanyak 18 kes berpunca daripada Kes Bergejala, 11 kes daripada Saringan Kontak Rapat dan enam kes lagi daripada lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, daripada 27 daerah yang merekodkan penambahan jumlah kes harian, tujuh daerah mencatatkan kes dua angka, 14 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja dan enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.
“Kesemua daerah mencatatkan perubahan angka yang tidak static kecuali daerah-daerah yang konsisten dengan catatan sifar kes seperti Kunak, Kalabakan dan Nabawan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya kes baharu hari ini meningkat lima kes berbanding semalam menjadikan jumlah kes baharu hari ini sebanyak 231 kes dan satu kes kematian direkodkan di Putatan.
Katanya lagi, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 100 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang digariskan kerajaan.