• nabalunews

COVID-19: LABUAN SASAR LIPUTAN VAKSIN 100 PERATUS



26 Feb 2021


LABUAN: Penduduk Labuan diminta mengemas kini dan mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk imunisasi COVID-19, memandangkan pusat kewangan luar pesisir antarabangsa itu menyasarkan keseluruhan 103,000 penduduknya mendapat vaksinasi.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan Rithuan Ismail berkata jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan Majis Perwakilan Rakyat (MPP), ketua kampung dan pemimpin masyarakat untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Labuan.

“Walaupun kumpulan antivaksin telah membangkitkan sentimen antivaksinasi, kami optimis rakyat Labuan tidak sabar untuk divaksin kerana penyakit itu mudah menular dan jangkitan yang meluas.


“Meskipun segelintir masyarakat menolak nasihat perubatan dan meletakkan keluarga dan masyarakat dalam bahaya, kami berusaha untuk memastikan semua orang di pulau ini mendapat vaksinasi, jadi kami dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya kepada Bernama selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dari Kota Kinabalu hari ini.


Beliau berkata usaha kesedaran mengenai imunisasi akan dilancarkan di 27 kampung untuk memastikan orang ramai menyertai program ini dengan mendaftar di aplikasi MySejahtera.


Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech sebanyak 4,680 dos untuk Labuan, selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan hari ini.

Fasa pertama pelaksanaan imunisasi akan melibatkan 2,340 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, pemimpin tempatan dan wakil agensi media kerajaan yang berpangkalan di Labuan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM dan Jabatan Penerangan.


Program imunisasi di Labuan akan bermula pagi esok di Klinik Kesihatan Membedai dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari, yang pertama akan menerima suntikan, diikuti Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Rithuan, pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani dan 12 wakil media.


Program imunisasi di pulau itu dijangka dilaksanakan hingga akhir tahun ini. - Bernama