• Wartawan Nabalu News

COVID-19: LAHAD DATU, PENAMPANG, KOTA KINABALU CATAT KES BAHARU TERTINGGI SELURUH SABAH HARI INI



30 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tiga daerah iaitu Lahad Datu, Penampang dan Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu Covid-19 tertinggi di seluruh Sabah, hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhannya Sabah merekodkan jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini sebanyak 280 kes, menjadikan jumlah kumulatif 36,741 kes.


Beliau berkata, daripada 280 kes positif yang direkodkan, 175 kes (62.5 peratus) berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 63 kes (22.5 peratus), saringan kluster-kluster sedia ada 13 kes (4.6 peratus), saringan komuniti satu kes dan 28 kes adalah dari lain-lain kategori.


“Kes-kes jangkitan mengikut daerah pula, Lahad Datu dan Penampang masing-masing mencatatkan 51 kes, Kota Kinabalu (41 kes), Keningau (29 kes), Tawau (22 kes), Sandakan (18 kes), Papar (17 kes), Ranau (11 kes).


“Kota Belud mencatatkan Sembilan kes, Putatan (tujuh kes), Tuaran (lima kes), Semporna (empat kes), Tambunan dan Sipitang masing-masing tiga kes, Kalabakan dan Pitas masing-masing dua kes, Kinabatangan, Tenom, Kudat, Kuala Penyu dan Kota Marudu masing-masing satu kes.


“Daerah Kunak, Beluran, Telupid, Beaufort, Tongod dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, empat kes kematian dicatatkan hari ini masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau dan Lahad Datu.


“Seramai 217 pesakit Covid-19 sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 34,470 orang.


“Sejumlah 1,591 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 627 orang di hospital dan 964 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 61 orang dan 15 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.