• nabalunews

COVID-19: LEBIH 30,000 PESAKIT SEMBUH DI SABAH SETAKAT INI - MASIDI



26 DIS 2020


KOTA KINABALU: Seramai 33,571 pesakit COVID-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.


Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata 214 pesakit sembuh hari ini berbanding 239 direkodkan semalam.


“Sebanyak 1,553 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 567 di hospital dan 986 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah. Bilangan pesakit COVID-19 dalam unit rawatan rapi ialah 57 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan, di sini.


Sementara itu, Masidi berkata 248 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,640 kes.


Beliau berkata 169 kes atau 68.1 peratus kes positif baharu direkodkan itu berpunca daripada saringan kontak rapat; saringan bergejala 37 kes (14.9 peratus); saringan kluster-kluster sedia ada 26 kes (10.5 peratus) dan 16 kes (6.5 peratus) lain-lain kategori.


“Tambunan kini bertukar daripada zon kuning kepada zon hijau sekali gus menyaksikan dua zon hijau direkodkan di Sabah termasuk Nabawan,” katanya dan menambah, kerajaan Sabah setakat ini telah mengagihkan 303,992 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh daerah. – Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com