• nabalunews

COVID-19: MALAYSIA REKOD KES HARIAN TERTINGGI BAHARU DENGAN 2,593 KES


6 JAN 2021


PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes harian COVID-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 2,593 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 125,438 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes COVID-19 yang sembuh bagi tempoh sama ialah 1,129 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 100,578 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 24,347 kes," katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19, di sini hari ini.


Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini, empat merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 965 kes diikuti Johor dengan 571 kes dan Sabah yang mencatatkan 405 kes, katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 141 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 67 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata empat kematian COVID-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu di Malaysia sebanyak 513 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dua kematian dilaporkan di Sabah, sementara Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan satu kes masing-masing.

Kesemua kematian melibatkan warganegara Malaysia berusia 50 hingga 73 tahun yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi, katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com