• nabalunews

COVID-19: MEDAC LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BANTU USAHAWAN PKS DI SABAH - MAS ERMIEYATI



5 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi-agensinya melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi bagi membantu pembangunan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Sabah dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia dapat dilihat apabila dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak RM56.3 juta telah disalurkan oleh Tekun Nasional bagi membantu 5,422 usahawan negeri Sabah.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 2,436 permohonan diluluskan dengan nilai RM17.5 juta bagi negeri Sabah melalui pakej rangsangan PRIHATIN PKS, khusus untuk membantu peniaga kecil mendapatkan bantuan modal perniagaan tanpa caj melalui program Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM).

“Melalui peruntukan dana PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), Tekun juga membantu melalui Program Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS). Bagi Negeri Sabah sehingga September 2020, seramai 1,385 usahawan telah mendapat pebiayaan bernilai RM7.6 juta.

“Bagi usahawan di Kimanis, melalui Program TBRS dan CBRM, 64 usahawan telah dibantu dengan jumlah pembiayaan RM436,000,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) yang ingin mengetahui bentuk program yang telah dan akan diperkenalkan PKS di Sabah ketika situasi COVID-19 sekarang.

Katanya bagi meningkatkan kemahiran usahawan di Sabah, pihaknya melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan program latihan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM114,371 bagi tahun 2019 dan RM299,330 bagi tahun ini.

Beliau berkata seramai 595 usahawan di Sabah juga telah mendapat manfaat melalui Kursus Asas Keusahawanan (KAK), INSKEN Business Coaching (IBC) dan INSKEN Business Training (IBT). – Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com