• nabalunews

COVID-19: MMA SABAH TERIMA SUMBANGAN RM500,000



11 JAN 2021

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah hari ini menerima sumbangan RM500,000 daripada Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) bagi membantu menyediakan keperluan perubatan terutama dalam usaha memerangi COVID-19 di negeri itu.


Pada majlis yang disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, Presiden SUCCC Tan Sri Andrew Liew menyerahkan sumbangan itu kepada Pengerusi MMA Sabah Prof Dr Kew Seih Teck.


Dr Kew berkata sumbangan itu amat membantu petugas barisan hadapan terutamanya dalam menyediakan lebih banyak alat bantuan pernafasan di hospital bagi merawat pesakit COVID-19.



Pada majlis sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Rusdin Riman menyerahkan sumbangan Badan Kebajikan Islam kementerian itu sebanyak RM13,500 kepada Hajiji bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah.


Hajiji pada majlis itu berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menghargai dan mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan amal dan lain-lain untuk bersama-sama memerangi wabak COVID-19.


Beliau turut berkongsi pengalaman ketika dijangkiti virus itu pada Oktober tahun lepas dan seboleh-bolehnya tidak mahu rakyat Sabah mengalami perkara sama.


"Jaga SOP (prosedur operasi standard) sentiasa dan ambil langkah berjaga-jaga, jangan kita leka. Saya harap semua pihak termasuk rakyat Sabah dapat bekerjasama bagi kita hapuskan COVID-19," katanya. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com