• nabalunews

COVID-19: NABAWAN CATAT KES TERTINGGI SELURUH SABAH


28 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 134 kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 52,886 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 134 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 48 kes (35.8%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala sembilan kes (6.7%), saringan kluster sedia ada 71 kes (53.1%), saringan PERKESO tiga kes (2.2%) dan tiga kes (2.2%) adalah dari lain-lain kategori.



Beliau berkata, Kuala Penyu dan Tongod kekal zon hijau Covid-19, manakala Papar dan Kota Belud pula berubah dari zon merah ke zon jingga.


“Daerah yang mencatatkan kes tertinggi hari ini ialah Nabawan dengan 43 kes, diikuti Kinabatangan (19 kes), Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing 14 kes, Kunak (12 kes), Keningau (tujuh kes), Kalabakan (enam kes).


“Kota Marudu (lima kes), Tuaran dan Kudat masing-masing tiga kes, Lahad Datu dan Kota Belud masing-masing dua kes, Sandakan, Beluran, Semporna dan Sioitang masing-masing satu kes.


“Daerah yang tidak mencatatkan kes baharu hari ini ialah Penampang, Papar, Putatan, Beaufort, Pitas, Tambunan, Tenom, Telupid, Ranau, Kuala Penyu dan Tongod,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.



Masidi berkata hari ini, seramai 161 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 51,523 orang.


“Pada hari ini juga sejumlah 713 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 257 orang di hospital, 448 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan lapan orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 35 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.