• nabalunews

COVID-19: PENGEMBARA DARI SABAH KE KELANTAN PERLU JALANI UJIAN CALITAN KEDUA


27 NOV 2020


KOTA BHARU: Mereka yang tiba di Kelantan dari Sabah perlu menjalani ujian calitan COVID-19 kali kedua selepas lima hari menjalani kuarantin wajib, kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Jefny Muhammad.

Katanya ujian itu diwajibkan ke atas semua sekalipun ujian saringan kali pertama yang dilakukan tiga hari sebelum mereka berlepas dari Sabah menunjukkan keputusan negatif. “Sebaik tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa ke pusat kuarantin yang ditelah diwartakan untuk menjalani ujian swab dan juga bagi menjalani kuarantin wajib selama lima hari.

“Setakat ini kita mempunyai dua tempat kuarantin yang telah diwartakan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Pengkalan Chepa dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas selain di Hotel H Elite bagi mereka yang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MKN di Pejabat Cawangan Kawalan Penyakit, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jefny berkata bermula esok, seramai 121 pengembara dari Sabah termasuk penjawat awam, guru, polis dan sebagainya akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.

Untuk itu katanya dua buah bas disediakan bagi membawa individu terbabit ke pusat kuarantin.

“Bagi mereka yang datang atas tujuan rasmi seperti mesyuarat, mereka juga akan dinilai oleh Jabatan Kesihatan Negeri yang akan bertugas di LTSIP dan melalui penilaian ini kemungkinan mereka dipakaikan gelang hijau sahaja bagi membolehkan mereka hadir di tempat yang perlu sahaja,” katanya.

Beliau menjelaskan langkah itu diambil bagi menjaga kemaslahatan masyarakat tempatan berikutan Sabah antara negeri yang merekodkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di negara ini. - Bernama