• nabalunews

COVID-19: PITAS, KALABAKAN KINI ZON MERAH



27 NOV 2020


KOTA KINABALU: Pitas dan Kalabakan kini bertukar menjadi zon merah apabila masing-masing merekodkan lebih 40 kes aktif COVID-19 hari ini, menjadikan sebanyak 15 daerah dikategorikan sebagai zon merah di Sabah berbanding hanya 13 semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pitas merekodkan pertambahan empat kes baharu hari ini daripada 40 kes semalam menjadikan daerah itu bertukar daripada zon jingga kepada zon merah.

Beliau berkata Kalabakan turut mencatatkan empat kes baharu dan pertambahan kes itu menyebabkan daerah berkenaan yang sebelum ini dalam zon kuning, bertukar kepada zon merah dengan sebanyak 43 kes aktif dalam masa 14 hari.

“Sabah merekodkan 441 kes baharu positif COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak berkenaan di negeri ini ialah sebanyak 27,679.

“Sebanyak 192 kes atau 43.54 peratus daripada kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan manakala selebihnya iaitu 249 kes daripada lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata seramai 738 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah sembuh di Sabah adalah seramai 24,519 orang. Sejumlah 2,027 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 663 di hospital dan 1,364 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), manakala seramai 74 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Masidi berkata sebanyak 6,584 katil ditempatkan di hospital dan PKRC seluruh Sabah dengan 30.79 peratus daripadanya digunakan pada hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Samling Timber Sdn Bhd., sebuah syarikat berpangkalan di Sarawak, yang berbesar hati memberi sumbangan RM500,000 ke akaun Amanah Bencana Alam Negeri untuk bantuan mangsa COVID-19.


Kerajaan negeri turut mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada badan bukan kerajaan, badan berkanun dan orang perseorangan bagi membantu lebih ramai rakyat yang terkesan akibat wabak itu, katanya. - Bernama