• nabalunews

COVID-19: POLIS ADAKAN SEKATAN JALAN RAYA DI KAWASAN PENEMPATAN UNHCR LABUAN


30 DIS 2020


LABUAN: Polis mengadakan sekatan jalan di kawasan perkampungan Kiamsam, penempatan yang diiktiraf Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), setelah pihak berkuasa kesihatan Labuan mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai zon merah COVID-19.

Sekatan jalan raya selama 10 hari bermula semalam itu bertujuan mengawal aliran masuk dan keluar orang ramai serta kenderaan di kawasan penempatan itu, yang dianggarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dihuni kira-kira 3,200 penduduk, termasuk pelarian.

Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani berkata sekatan jalan itu juga bertujuan membantu melancarkan petugas kesihatan Labuan menjalankan proses pengesanan dan pemantauan kes aktif COVID-19.

“Sekatan itu tidak bermaksud menghentikan pergerakan orang ramai keluar dan masuk di penempatan berkenaan, tetapi untuk memastikan mereka (pelarian dan penduduk) yang perlu dikuarantin mematuhi arahan.

“Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa kesihatan terdapat penduduk di penempatan itu telah diperintah menjalani kuarantin, dan perlu memakai gelang merah jambu, sehubungan itu sekatan jalan raya diperlukan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kawasan di pusat bandar pula, seperti di bangunan kedai berhampiran Jalan Bunga Kemuning dan Jalan Bunga Mayang, turut diisytiharkan sebagai zon merah kerana terdapat beberapa pesakit COVID-19 merupakan penyewa di kawasan itu.

Petugas kesihatan sebelum ini menghadapi cabaran besar dalam melakukan pemeriksaan dan mengesan kontak di dua penempatan pelarian UNHCR di Kg Muslim dan Kiamsam di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata biasanya penduduk di dua kawasan itu, yang padat dengan pelarian Filipina serta pendatang asing lain, akan menguncikan diri di dalam rumah atau melarikan diri apabila melihat kakitangan kesihatan.

Sehingga hari ini, Labuan merekodkan 1, 636 kes COVID-19 dengan sembilan kematian daripada lima kluster aktif iaitu Kluster J Bandar dengan 35 kes, Hujung Pasir (56 kes), Sky Coklat (50 kes), Saguking (413 kes) dan Titian di penempatan Kg Muslim dengan 81 kes.

- Bernama