• nabalunews

COVID-19: PUSAT ZAKAT SABAH SUMBANG RM1.4 JUTA BANTU KEMENTERIAN KESIHATAN



9 Nov 2020

KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah (PZS) di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menyumbang RM1.4 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi membantu mengekang penularan COVID-19 khususnya di Negeri di Bawah Bayu.

Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Arif berkata sumbangan itu bertujuan membantu memenuhi keperluan mendesak operasi klinik dan hospital di negeri ini.

Beliau berkata ia merupakan salah satu daripada enam program dilaksanakan PZS bagi membantu rakyat terkesan akibat penularan pandemik itu, selain menyalurkan bantuan sekali bayar kepada 9,600 asnaf penerima zakat bulanan melibatkan peruntukan RM960,000.

“PZS juga beri bantuan kepada 100 masjid terpilih dengan sumbangan RM3,000 setiap masjid bagi membantu masyarakat di kawasan kariah mereka.

“Tiga lagi jenis program bantuan kita akan perincikan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan zakat perniagaan DBKK Holdings Sdn Bhd di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah Eksekutif DBKK Holding Karim Rahim menyerahkan bayaran RM53,585.83 untuk zakat perniagaan 2019 syarikatnya kepada Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali.

Mohd Ariffin juga berkata sudah sampai masanya lebih banyak pihak terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat perniagaan tampil menunaikan tanggungjawab membayar zakat.

"Ini supaya kita dapat bantu lebih ramai asnaf yang memerlukan…tanggungjawab kita sebagai pihak diamanahkan untuk jaga wang zakat ini perlu disampaikan kepada asnaf," katanya. - Bernama