• nabalunews

COVID-19: RAKYAT SABAH PULANG DARI BRUNEI TIDAK PERLU JALANI KUARANTIN WAJIB - MASIDI


15 DIS 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju memberi kelonggaran kepada rakyatnya yang berada di Brunei untuk balik ke negeri itu tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata, bagaimanapun, individu terbabit diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 sebelum balik.

“Keputusan ujian saringan mestilah dalam tempoh sehari hingga tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada pelanggan restoran yang datang berkeluarga dari rumah sama duduk semeja untuk makan bersama.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata saringan COVID-19 secara besar-besaran telah dilakukan di Pusat Tahanan Sementara Tawau hari ini dan hasil saringan itu dijadual diketahui esok sekali gus akan menyumbang kepada pertambahan statistik kes baharu di daerah itu.

Masidi berkata sebanyak 260 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di negeri ini hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 33,371 kes dengan tiga kematian di Sandakan.

Sebanyak 139 kes atau 53.5 peratus daripada kes baharu hari ini berpunca daripada saringan kontak rapat di 15 daerah, 52 kes (20 peratus) daripada saringan kluster-kluster sedia ada; saringan bergejala 34 kes (13.1 peratus), saringan komuniti (lapan kes atau tiga peratus); dan 27 kes (10.4 peratus) lain-lain kategori, katanya.

Beliau berkata 400 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh daripada wabak itu di Sabah berjumlah 30,283 orang.

Sebanyak 2,192 pesakit sedang menerima rawatan iaitu masing-masing 603 orang di hospital dan 1,589 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), manakala 60 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dengan 14 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.


Sebanyak 33.38 peratus daripada 6,567 unit katil disediakan di hospital COVID-19 dan PKRC digunakan pada hari ini, katanya. - Bernama