- nabalunews
COVID-19: RENTAS SEMPADAN, JETI HARAM ANTARA PUNCA KES DI LABUAN MENINGKAT

24 Jan 2021
LABUAN: Perjalanan merentas sempadan serta tindakan kru kapal yang menggunakan jeti haram untuk memasuki kawasan sini merupakan antara punca peningkatan mendadak jumlah kes positif COVID-19 di Labuan.
Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pelajar dari Sabah yang kembali ke Labuan untuk menyambung pengajian dalam semester baharu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini awal bulan ini mengakibatkan satu kluster baharu muncul, yakni kluster Jalan Mohammed Salleh, yang menyaksikan 30 kes dilaporkan dalan kluster ini semalam.
“Mulanya hanya sembilan pelajar yang menaiki bas ke Labuan awal bulan ini yang didapati positif, sebelum virus itu menjangkiti pelajar-pelajar lain, petugas akademik institut itu, dan juga anggota keluarga mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata analisis mendalam sedang dijalankan di maklmal Kuala Lumpur terhadap sampel yang diambil dari pelajar dan petugas akademik ILP itu bagi mengesan sebarang kemungkinan mutasi.
“Selepas kita melaksanakan sepenuhnya penyaringan mandatori di pintu masuk Labuan, yakni dua terminal feri dan lapangan terbang Labuan, serta keputusan ujian negatif yang perlu ditunjukkan kepada petugas kesihatan sebaik tiba di Labuan, hasilnya amat baik… kita telah mengesan pelawat, termasuk pelajar yang positif,” katanya.
Beliau berkata penutupan jeti haram serta kawalan sempadan Labuan yang baik turut membolehkan petugas kesihatan mengesan jangkitan dalam kalangan kru kapal.
“Baru-baru ini kita dapati ada kru kapal yang tidak bertugas menggunakan jeti-jeti haram untuk memasuki Labuan bagi mengelak ujian COVID-19, sekali gus menjadikan sukar bagi kita untuk mengawal penularan jangkitan,” katanya.
Dr Ismuni berkata ada beberapa kru kapal yang disahkan positif sejak beberapa hari lepas dan mereka memasuki Labuan menerusi pintu masuk yang diwartakan, yakni menerusi terminal feri.
"Kru kapal diwajibakan menjalani ujian COVID-19, sama ada bertugas atau sebaliknya, dan ia adalah keperluan mandatori, dan mereka akan diberikan kad kesihatan yang perlu ditunjukkan kepada petugas kesihatan di pintu masuk (terminal feri) bagi tujuan pemantauan kesihatan.
Labuan merekodkan 1,983 kes sehingga semalam dan ketika ini 110 kes aktif sedang ditangani oleh Hospital Labuan. - Bernama