• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 196 KES BAHARU, 2 KEMATIAN, 1 KLUSTER BAHARU



20 DIS 2020


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 196 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif 34,478 kes positif Covid-19 di negeri ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini dua kes kematian dicatatkan masing-masing di Tawau dan Sandakan.


“Satu kluster baharu turut dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Estate Maju sebanyak 18 kes menjadikan jumlah kumulatif 28 kes.


“Kluster ini dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan pekerjaan di sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Masidi berkata, dari segi kes-kes jangkitan Covid-19 mengikut daerah, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 63 kes, Penampang (34 kes), Tuaran (29 kes), Tawau (14 kes), Ranau (Sembilan kes), Putatan dan Beaufort masing-masing lapan kes, Lahad Datu (tujuh kes), Sandakan dan Kota Belud masing-masing enam kes.


“Keningau dan Papar masing-masing tiga kes, Kalabakan dan Pitas masing-masing dua kes, Kudat dan Kinabatangan juga masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.


Beliau berkata daripada 196 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 86 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada (49 kes), saringan bergejala (46 kes) dan 15 kes dari lain-lain kategori.