COVID-19: SABAH CATAT 199 KES BAHARU, HARI INI

19 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 199 kes, menunjukkan penurunan berbanding beberapa hari yang lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri ini sebanyak 34,282 kes.
“Daripada 199 kes positif Covid-19 yang dicatatkan hari ini, sebanyak 79 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 71 kes, saringan bergejala 30 kes, saringan pra kemasukan wad 4 kes, saringan komuniti 2 kes dan 13 kes dari lain-lain kategori.
Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 65 kes, diikuti Lahad Datu 29 kes, Penampang (20 kes), Tuaran (18 kes), Tawau (16 kes), Sandakan (10 kes), Kota Belud, Ranau dan Kalabakan masing-masing tujuh kes, Putatan (lima kes), Tenom (empat kes), Keningau (tiga kes), Papar, Beaufort dan Telupid masing-masing dua kes, Semporna dan Kudat masing-masing satu kes.
“Daerah Kinabatangan, Pitas, Beluran, Tongod, Kunak, Kuala Penyu, Sipitang, Tambunan, Kota Marudu dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya.
Beliau berkata, seramai 342 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sembuh 31,621 orang.
“Sejumlah 1,994 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 613 orang di hospital dan 1,381 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 57 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments