• Wartawan Nabalu News

SABAH CATAT TUJUH KEMATIAN, 203 KES POSITIF BAHARU COVID-19 HARI INI



3 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 203 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,019 kes dan tujuh kematian direkodkan iaitu dua kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes jangkitan baharu hari ini, 121 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 21 kes saringan kluster, 43 kes saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.


“Terdapat 12 daerah di negeri ini mencatatkan penurunan kes. Sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kunak (-35), Sandakan (-23) dan Lahad Datu (-12).


“Bagaimanapun terdapat sembilan daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini pada julat satu angka. Daerah Keningau kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan dua kes,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini, enam daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Sipitang, Tenom dan Tambunan.


“Sabah mengalami trend penurunan sebanyak dua hari berturut-turut. Sungguhpun begitu, daerah-daerah yang berzon hijau kini berkurangan daripada sebelumnya menandakan adanya jangkitan baru sebagai tanda kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.


Beliau berkata, keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik Covid-19 sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.


Mengenai jumlah pesakit sembuh, beliau berkata, hari ini sebanyak 201 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 60,366 orang.


“Mankala 1,734 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 460 orang di hospital, dan 1,274 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.