• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 286 KES BAHARU HARI INI, EMPAT KES KEMATIAN



14 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 286 kes positif baharu Covid-19 pada hari ini iaitu peningkatan 47 kes berbanding 239 kes semalam (13 Julai), menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, empat kes kematian dilaporkan hari ini iaitu satu kes masing-masing di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.


Masidi berkata, daripada jumlah kes baharu itu 134 kes daripada saringan kontak rapat, saringan kluster (44 kes), saringan bergejala (40 kes), saringan bersasar (46 kes) dan 22 kes saringan lain-lain kes.


"Terdapat lima daerah yang mendominasi bilangan kes tertinggi hari ini iaitu Kota Kinabalu, Beaufort, Tawau, Sandakan dan Papar yang menyumbang 56.7 peratus daripada jumlah kes negeri ini.


“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 52 kes iaitu empat kes daripada saringan Kluster Agora Borneo, 11 kes daripada saringan kontak rapat, tiga kes daripada saringan bergejala, 30 kes daripada saringan bersasar dan empat dari saringan lain-lain kes.


“Manakala daerah Beaufort dan Tawau pula masing-masing merekodkan 30 lebih kes iaitu Beaufort (34 kes) dan Tawau (32 kes). Saringan kontak rapat dan saringan kluster daripada merupakan penyumbang tertinggi kepada kes baharu yang direkodkan di kedua-dua daerah ini.


"Bagi daerah Sandakan (25 kes) dan Papar (21 kes) pula, saringan kontak rapat merupakan penyumbang tertinggi kepada kes baharu di kedua-dua daerah ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.


Beliau berkata, sebanyak enam daerah mencatatkan sifar kes iaitu Telupid, Kunak, Tongod, Tenom, Nabawan dan Tambunan.


“Setakat ini, daerah Zon Hijau kekal dua daerah iaitu di Telupid dan Beluran,” katanya.


Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh sebanyak 284 orang menjadikan jumlah kumulatif 70,183 orang.


“Seramai 2,079 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 425 orang di hospital, 1,612 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 42 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 60 orang dan 13 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya