• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 372 KES BAHARU



11 JAN 2021

Oleh Anne Sham


KOTA KINABALU: Jumlah Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini, sebanyak 374 kes menunjukkan penurunan sebanyak 29 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 41,040 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, satu kematian turut direkodkan di Sandakan.


Beliau berkata, daripada 374 kes positif Covid-19 yang direkodkan, sebanyak 259 kes (69.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 57 kes (15.2%), saringan rentas negeri 15 kes (4%), saringan kluster-kluster sedia ada 21 kes (5.6%), dan 22 kes (5.9%) adalah dari lain-lain kategori.


“Kes Jangkitan mengikut daerah, Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu tertinggi sebanyak 74 kes, Tawau (41 kes), Penampang (31 kes), Keningau (27 kes), Putatan (26 kes), Kota Belud (21 kes), Papar (20 kes), Lahad Datu, Sandakan, Tuaran dan Beaufort masing-masing 15 kes, Kudat (12 kes), Semporna (11 kes), Tambunan (10 kes).


“Kinabatangan dan Kunak masing-masing lapan kes, Sipitang dan Tenom masing-masing lima kes, Kota Marudu (empat), Kalabakan dan Nabawan masing-masing tiga kes, Pitas dan Beluran masing-masing dua kes dan Telupid (satu kes).


“Tiga daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Ranau, Tongod dan Kuala Penyu,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini seramai 306 pesakit Covid-19 sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 37,327 orang.


“Sejumlah 2,710 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 726 orang di hospital dan 1,984 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 69 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.