top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 401 KES, EMPAT KEMATIAN



8 JAN 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah masih mencatatkan kes positif baharu Covid-19 yang tinggi, dengan jumlah 401 kes hari ini, namun terdapat sedikit penurunan sebanyak 92 kes berbanding kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 39,854 kes.


Beliau berkata, empat kes kematian turut direkodkan hari ini iaitu masing-masing dua kes di Sandakan dan Kota Kinabalu.


“Secara keseluruhannya Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi seluruh Sabah dengan 101 kes, diikuti Penampang (41), Lahad Datu (39), Tawau (32), Putatan (29), Keningau dan Papar masing-masing 18 kes, Kinabatangan (16), Pitas (14), Sandakan dan Tuaran masing-masing 12 kes, Kota Marudu (10 kes).


“Tambunan dan Kuala Penyu masing-masing Sembilan kes, Kota Belud (tujuh kes), Kudat, Kunak dan Tenom masing-masing enam kes, Beaufort dan Kalabakan masing-masing lima kes, Ranau (empat kes), Sipitang dan Semporna masing-masing satu kes.


“Daerah yang tidak mencatatkan kes baharu hari ini ialah Beluran, Nabawan, Telupid dan Tongod,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daripada 401 kes positif Covid-19 yang direkodkan, sebanyak 255 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (72 kes), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada (31 kes) dan 43 kes adalah dari lain-lain kategori.


Pada hari ini, seramai 302 pesakit Covid-19 sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 36,448 orang. Sejumlah 2,506 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 696 orang di hospital dan 1,810 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 68 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


bottom of page