top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 453 KES BAHARU HARI INI, MENINGKAT 52 KES



22 Jan 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 453 kes positif baharu Covid-19 hari ini, meningkat 52 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,862 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu.


“Daripada 453 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 293 kes (64.7%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 71 kes (15.7%), saringan kluster baharu dan sedia ada 49 kes (10.8%).


“Saringan pelajar masuk asrama tiga kes, saringan komuniti tiga kes, saringan PERKESO satu kes dan 33 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi iaitu 64, diikuti Lahad Datu dan Kota Kinabalu masing-masing 52 kes, Kinabatangan (39 kes), Putatan (35 kes), Keningau (31 kes), Kota Belud (27 kes), Sandakan (25 kes), Penampang (23 kes), Tuaran (21 kes), Kota Marudu (16 kes), Papar (13 kes), Kunak (11 kes), Kudat (10 kes).


"Ranau dan Semporna masing-masing lima kes, Beaufort, Nabawan Kuala Penyu dan Pitas masing-masing empat kes, Tambunan dan Tenom juga masing-masing dua kes, Kalabakan, Beluran, Sipitang dan Tongod masing-masing satu kes.


"Hanya daerah Telupid yang tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini," katanya.


Beliau berkata, seramai 650 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 41,579 orang.


Katanya, sejumlah 2,839 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 862 orang di hospital, 1,958 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/ Penjara.


"Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 81 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

bottom of page