Jacquline Ebit
Covid-19: Sabah catat 46 kematian tertinggi hari ini, 2,578 kes baharu

29 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes tertinggi kematian akibat Covid-19 hari ini iaitu sebanyak 46 kes, peningkatan 29 kes berbanding kelmarin dan jumlah kes baharu positif Covid-19 pula sebanyak 2,578 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 11 kes kematian dicatatkan di Tawau, 10 kes di Kota Kinabalu, sembilan kes di Sandakan, tiga kes di Tuaran dan Keningau, dua kes di Kinabatangan, Penampang dan Kalabakan manakala Papar, Kudat, Putatan dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada kes-kes baharu iaitu sebanyak 1,605 kes direkodkan, manakala saringan bergejala merekodkan 742 kes, saringan kluster dengan 30 kes, saringan bersasar (22 kes) dan saringan lain-lain kes (179 kes).
"Secara keseluruhan, 1,064 kes adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 171 kes adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari, dan 207 kes adalah kes daftar lewat melebihi 5 hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, pada hari ini seramai 2,507 pesakit adalah daripada Kategori 1 dan Kategori 2 dengan pecahan sebanyak 620 kes daripada Kategori 1 dan sebanyak 1,887 kes daripada Kategori 2.
"Bagi Kategori 3 pula sebanyak 13 pesakit, tujuh pesakit dalam Kategori 4 dan 25 pesakit dalam kategori 5 serta 26 kes masih dalam siasatan lanjut," katanya.
Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 1,722 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 109,311 orang.