• nabalunews

COVID-19: SABAH CATAT 526 KES BAHARU



19 Jan 2021

Oleh Anne Sham


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 526 kes positif baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 44,602 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah kes positif Covid-19 hari ini disebabkan saringan besar-besaran yang giat dijalankan oleh PERKESO di kilang-kilang terutama di kawasan Pantai Timur Sabah.


Beliau berkata melalui saringan itu, sebanyak 73 kes positif Covid-19 dikesan di Ladang Baturong Kunak, Ladang GNG Kinabatangan (15 kes), Ladang Matamba Lahad Datu (20 kes) dan Ladang dan Kilang Segamaha (43 kes).


“Daripada 526 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, 364 kes (69.2%) berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 80 kes (15.2%), saringan kluster sedia ada 29 kes (5.5%), saringan komuniti 2 kes (0.4%), saringan pelajar masuk asrama 10 kes (1.9%) dan 41 kes (7.8%) adalah dari lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daerah yang mencatatkan kes tertinggi ialah Tawau dengan 83 kes, diikuti Sandakan sebanyak 77 kes, Lahad Datu (54 kes), Kota Kinabalu (46 kes), Penampang (28 kes), Kunak (24 kes), Papar (22 kes), Kudat dan Pitas masing-masing 21 kes, Tuaran (19 kes), Keningau, Kinabatangan dan Kalabakan masing-masing 15 kes, Kota Belud dan Beaufort masing-masing 13 kes, Putatan (12 kes), Kota Marudu dan Tambunan masing-masing 10 kes.


“Beluran mencatatkan tujuh kes, Ranau (enam kes), Tenom (lima kes), Semporna (empat kes), Nabawan (tiga kes), Tongod (dua kes) dan Sipitang (satu kes).


“Hanya dua daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Telupid dan Kuala Penyu,” katanya.


Beliau berkata, hari ini seramai 369 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 40,133 orang. Sejumlah 2,849 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 769 orang di hospital dan 2, 080 orang di PKRC.


Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 80 orang dan 21 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.