- Wartawan Nabalu News
COVID-19: SABAH CATAT 70 KES BAHARU, TIGA KEMATIAN

12 Mei 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini meningkat 50 kes semalam ke 70 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif di Sabah sebanyak 59,073 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata satu kematian turut dilaporkan masing-masind di Tawau, Papar dan Kinabatangan.
"Majoriti kes adalah berpunca dari kluster baharu dan sedia ada iaitu sebanyak 33 kes manakala sebanyak 25 kes berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh kes dari saringan bergejala ada dan selebihnya dari lain-lain kategori.
“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 16 kes, diikuti Tawau dengan sembilan kes, Penampang dan Semporna masing-masing lapan kes, Lahad Datu dan Kunak masing-masing tujuh kes, Sandakan dan Putatan masing-masing empat kes, Kalabakan tiga kes, Kota Belud dua kes, serta satu kes masing-masing di Papar dan Kinabatangan.
“Daerah-daerah yang tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini ialah Keningau, Ranau, Beaufort, Tuaran, Beluran, Telupid, Tongod, Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, seramai 56 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 57,917 orang.
"Seramai 576 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 239 orang di hospital dan 337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 33 orang dan 19 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.