• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 94 KES BAHARU, SATU KEMATIAN DI SANDAKAN



Perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini (23 Feb).

23 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 94 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 52,268 kes dan satu kes kematian direkodkan di Sandakan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu 24 kes, diikuti Sandakan (19 kes), Kota Marudu (11 kes), Keningau (lapan kes), Tawau (enam kes), Nabawan (lima kes), Tuaran, Lahad Datu dan Kota Belud masing-masing empat kes.


"Kalabakan, Penampang dan Beluran masing-masing dua kes, Kinabatangan, Pitas dan Papar masing-masing satu kes.



"Sebanyak 12 daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Beaufort, Telupid, Putatan, Semporna, Tenom, Kudat, Ranau, Tambunan, Sipitang, Kunak, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daripada 94 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 33 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (lapan kes), saringan kluster baharu dan sedia ada (32 kes), PERKESO (lapan kes) dan 13 kes adalah dari lain-lain kategori.


Beliau berkata, hari ini seramai 21 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,735 orang.


“Pada hari ini sejumlah 771 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 307 orang di hospital, 454 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 10 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 43 orang dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.