• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 283 KES BAHARU HARI INI


14 DIS 2020


KOTA KINABALU: Jumlah Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 283 kes menunjukkan sedikit penurunan berbanding kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 33,111 kes.


“Daripada 283 kes positif yang dicatatkan, sebanyak 155 kes berpunca dari saringan kontak rapat di 10 daerah, 64 kes dari saringan kluster-kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti (enam kes) dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, hari ini daerah Tuaran merekodkan kes baharu tertinggi di Sabah sebanyak 50 kes, diikuti Kota Kinabalu (49 kes), Sandakan (41 kes), Penampang (39 kes), Lahad Datu (37 kes), Tawau (31 kes), Putatan (10 kes), Papar dan Kalabakan masing-masing lapan kes, Kota Belud dan Semporna masing-masing empat kes dan Kinabatangan (dua kes).


“Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara Manggatal, masih menjadi penyumbang tertinggi kes positif Covid-19 di Sabah, khususnya di kawasan Tuaran.


“Daerah Kudat, Keningau, Ranau, Pitas, Tambunan, Tenom, Kota Marudu, Telupid, Beluran, Kuala Penyu, Tongod, Beaufort, Kunak, Sipitang dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini,” katanya.


Beliau berkata hari ini dua kes kematian dicatatkan masing-masing di Tawau dan Kota Kinabalu.


“Pada hari ini, seramai 434 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 29,883 orang.


“Sejumlah 2,143 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 614 orang di hospital dan 1,529 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 61 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.