Covid-19: Sabah rekod 1,145 kes sembuh, 751 kes baharu, enam kematian
13 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan jumlah kes sembuh Covid-19 yang tinggi apabila mencatatkan 1,145 kes pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 195,018 orang.
Walau bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu pada hari ini sedikit meningkat iaitu 751 kes berbanding semalam 707.
“Kes sebenar yang didaftarkan sejak 24 jam lepas hanyalah 507 kes atau 67.51 peratus daripada kumulatif harian dan selebihnya adalah kes-kes yang didaftarkan selepas dua hari keputusan diketahui.
“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 416 kes daripada Saringan Kontak Rapat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, daripada jumlah kes jangkitan baru yang direkodkan hari ini, 8.26 peratus adalah daripada Kategori 1 dan 84.42 peratus adalah daripada Kategori 2.
Manakala jumlah pesakit Kategori 3 ialah tujuh kes, satu satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5. Sebanyak (46) kes masih dalam siasatan lanjut.
Sementara itu, sebanyak 2,338 pesakit masih menerima rawatan iaitu 942 orang di hospital, 1,388 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lima orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala tiga orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 132 orang merangkumi 113 di ICU serta 19 di kubikel akutdan 40 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Manakala bilangan pesakit kategori empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 177,” ujarnya.
Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di Sandakan manakala Kudat mencatatkan dua kes.
Masidi juga mendedahkan bahawa peratusan vaksinasi lengkap di seluruh Sabah sudah melebihi 70 peratus sekaligus membenarkan orang ramai untuk merentas daerah dan negeri tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.
Comments