top of page

Covid-19: Sabah rekod 17 kematian, kes baharu menurun ke 872

Wartawan Nabalu News

1 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi mencatatkan penurunan kes harian Covid-19 dengan 872 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 198,845 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kes harian yang rendah hari ini disebabkan kebanyakkan daerah di Sabah juga mencatatkan penurunan berbanding 993 kes semalam.


Tambahnya lagi, jumlah kes keputusan saringan yang tertunggak juga berkurangan secara signifikan.

“Hanya dua kes yg merupakan kes lewat daftar melebihi lima hari, 30 kes lewat antara empat hingga lima hari dan 343 kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari selepas saringan keputusan diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 yang memerlukan rawatan di hospital juga semakin berkurangan.


“Daripada jumlah kes hari ini, Kategori 1 merekodkan sebanyak 165 kes, Kategori 2 dengan 642 kes, Kategori 3 dengan lima kes, manakala Kategori 4 dan 5 masing-masing mencatatkan hanya empat kes,” katanya.


Menurut Masidi, trend ini sejajar dengan pertambahan peratusan penduduk yang telah lengkap divaksin.


“Walaupun mereka yang telah divaksin, mereka masih boleh dijangkiti virus tersebut.


“Tetapi secara keseluruhannya mereka tidak akan mengalami gejala serius yang lazim berlaku ke atas kebanyakan pesakit yang belum menerima vaksin,” jelasnya.


Masidi mendedahkan, sebanyak 17 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Semporna, dua kes di Lahad Datu, Ranau dan Beluran manakala masing-masing satu kes di Tawau, Kota Marudu, Putatan, Tuaran, Sandakan, Tenom, Keningau dan Kota Kinabalu.


Walau bagaimanapun, Masidi berkata bilangan pesakit sembuh juga mencatatkan jumlah yang lebih banyak berbanding jumlah kes harian iaitu 1,064, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 179,612 orang.


“Manakala 3,033 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,141 orang di hospital, 1,869 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara dan tujuh orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 134 orang merangkumi 123 di ICU serta 11 di kubikel akut dan 51 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page