Jacquline Ebit
Covid-19: Sabah rekod 42 kes kematian, 2,310 kes baharu hari ini

30 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABALU: Kes kematian akibat Covid-19 di Sabah hari ini kekal tinggi dengan 42 kes kematian, dan jumlah kes baharu positif Covid-19 pula sebanyak 2,310 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu kes kematian tersebut, 10 kes di Tuaran, sembilan kes di Kota Kinabalu, tujuh kes di Tawau, empat kes di Sandakan, tiga kes di Beaufort, dua kes di Penampang, Papar dan Keningau manakala Kudat, Putatan dan Kinabatangan masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
Saringan kontak rapat terus kekal sebagai penyumbang utama kepada kes-kes baharu iaitu sebanyak 1,342 kes adalah daripada saringan kontak rapat, manakala saringan bergejala merekodkan 680 kes, saringan kluster dengan 37 kes, saringan bersasar (36 kes) dan saringan lain-lain kes (215 kes).
"Sebanyak 2,016 kes hari ini melibatkan warganegara Malaysia dan 294 kes adalah bukan warganegara.
"Secara keseluruhan, 882 kes adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 216 kes adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari, dan 260 kes adalah kes daftar lewat melebihi 5 hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, pada hari ini seramai 2,187 pesakit adalah daripada Kategori 1 dan Kategori 2 dengan pecahan sebanyak 702 kes daripada Kategori 1 dan sebanyak 1,485 kes daripada Kategori 2.
"Bagi Kategori 3 pula sebanyak 26 pesakit, tujuh pesakit dalam Kategori 4 dan lima pesakit dalam kategori 5 serta 85 kes masih dalam siasatan lanjut," katanya.
Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 3,067 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 112,378 orang.