Ilona Andrew
Covid-19: Sabah rekod 532 kes baharu, 6 kematian

11 Okt 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Kes harian Covid-19 di Sabah mengekalkan trend penurunan di bawah paras 600 kes di mana sebanyak 532 kes baharu direkodkan pada hari ini, kurang 30 kes berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, penambahan itu menjadikan jumlah kumulatif di Sabah sebanyak 206,048 kes.
“Sejumlah 33.27 peratus daripada jumlah jangkitan pada hari ini adalah melalui Saringan Bergejala, satu petunjuk bahawa kes-kes sporadik penentu besar kepada turun-naiknya jumlah kes harian di Sabah.
“Jumlah kes secara kumulatif pada hari ini ialah 532 kes, namun kalau kita tolak kes-kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih, jumlah sebenar kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas hanyalah 270 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, daripada jumlah kes jangkitan baharu yang direkodkan hari ini, 20.86 peratus adalah daripada Kategori 1 dan 75.56 peratus adalah daripada Kategori 2. Kategori 1 dan Kategori 2 lazimnya hanya memerlukan rawatan pemantauan di rumah atau bila perlu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
Menurut Masidi lagi, tidak ada daerah yang mencatatkan angka jangkitan baharu melebihi tiga angka, malahan, hanya daerah Ranau dan Tambunan yang mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka.
Sementara itu, bilangan pesakit sembuh ialah 1,623, termasuk yang discaj dari hospital dan PKRC, menjadikan jumlah kumulatif 193,445 orang.
“Manakala 2,402 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 982 orang di hospital, 1,411 orang di PKRC Awam, lima orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala empat orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 134 orang merangkumi 112 di ICU serta 22 di kubikel akut dan 42 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Manakala. bilangan pesakit peringkat empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 195.”
Bagi kes kematian pula, sebanyak enam kes dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes masing-masing di Putatan dan Tenom, manakala Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” kata Masidi.