top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

Covid-19: Sabah rekod 54 kes kematian, 2,067 kes baharu hari ini



8 September 2021 Oleh Jacquline Ebit KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kes kematian yang tinggi akibat Covid-19 hari ini iaitu sebanyak 54 kes dan 2,067 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 165,439 kes. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kematian yang dilaporkan 21 kes di Sandakan, 14 kes di Tawau, enam kes di Lahad Datu, tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Keningau dan Papar manakala Semporna, Sipitang, Ranau, Kinabatangan, Penampang dan Kunak masing-masing mencatatkan satu kes. "Kota Kinabalu terus kekal sebagai daerah dengan kes tertinggi Covid iaitu sebanyak 347 kes, diikuti Sandakan (306 kes), Tuaran (163 kes), Keningau (122 kes), Tawau dan Sandakan masing-masing 107 kes, dan Penampang (106 kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurut Masidi, 722 kes daripada jumlah keseluruhan kes hari ini adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 94 kes adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari, dan 121 kes adalah yang didaftar lewat melebihi 5 hari selepas tarikh keluar keputusan. "Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,086 kes atau bersamaan 59.9 peratus manakala, 646 kes adalah daripada saringan bergejala, 77 kes daripada saringan kluster, tiga kes daripada saringan bersasar dan 122 kes dari saringan lain-lain kes," katanya.

"110 kes di Kota Kinabalu hari ini berpunca daripada saringan bergejala, begitu juga di Sandakan (70 kes), Tawau (60 kes) dan Penampang (49 kes)," katanya. Tambah beliau, pesakit dalam Kategori 1 adalah sebanyak 642 kes, Kategori 2, (1,355 kes), Kategori 3 sebanyak sembilan kes, Kategori 4 (enam kes) dan Kategori 5 (empat kes). "Dari segi jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh pula sebanyak 5,688 orang telah discaj atau sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 138,076 orang. "Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 195 orang merangkumi 126 di unit rawatan rapi serta 69 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 89 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

bottom of page