top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH REKOD 60 KES POSITIF BAHARU, 101 KES SEMBUH HARI INI



15 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini ialah sebanyak 60 kes meningkat tujuh kes berbanding semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,262 dan tiada kes kematian dicatatkan pada hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 60 kes tersebut, 29 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, 21 kes berpunca dari kluster sedia ada, enam kes dari saringan bergejala dan empat kes dari lain-lain kategori.



“Kota Kinabalu terus mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 18 kes, diikuti Tawau (15 kes), Penampang, Lahad Datu, Papar, dan Kunak, pula masing-masing sebanyak empat kes, Kalabakan dan Kinabatangan masing-masing tiga kes, Putatan (dua kes), serta satu kes dicatatkan di Semporna, Sandakan dan Keningau.


“Daerah-daerah lain tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini, manakala daerah Telupid, Tongod, Kudat, Pitas, Kuala Penyu, Tenom, Nabawan dan Tambunan kekal di zon hijau,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, seramai 101 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 58,168 orang.



"Sebanyak 572 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 229 orang di hospital dan 288 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 41 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.