Covid-19: Sabah rekod 820 kes baharu, 15 kematian
7 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah telah merekodkan peningkatan 820 kes baharu Covid-19 berbanding semalam iaitu 790, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 203,488 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes kematian di Sabah juga telah meningkat kepada 15 kes.
“Tiga kes kematian masing-masing dicatatkan di Sandakan dan Tawau, dua kes di Lahad Datu manakala Beluran, Nabawan, Keningau, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Masidi, sebanyak 38.66 peratus daripada jumlah kumulatif kes pada hari ini berpunca daripada Saringan Bergejala yang sinonim dengan kes-kes sporadik.
Katanya, trend kes di Sabah dijangka akan berterusan dalam keadaan ‘turun-naik’ dalam masa terdekat.
“Apabila virus sudah berada ditengah-tengah komuniti, jangkitan sporadik akan mudah berlaku dan turun-naik jumlah kes harian banyak dipengaruhi oleh sikap dan tahap pematuhan masyarakat kepada SOP.
“Walaupun Sabah mencatat penambahan jumlah kes hari ini, 93.78 peratus daripada jumlah tersebut adalah Kategori 1 dan kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
“Hanya terdapat empat kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan tidak ada kes dicatatkan hari ini dalam Kategori 5,” tambahnya.
Sementara itu, bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 948 menjadikan jumlah kumulatif 189,242 orang.
Manakala 2,577 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,067 orang di hospital, 1,486 orang di PKRC Awam, 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala lima orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 138 orang merangkumi 121 di ICU serta 17 di kubikel akut dan 48 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Manakala bilangan pesakit peringkat empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 228,” kata Masidi.
Comments