• nabalunews

COVID-19: SAMPEL TERTUNGGAK, SARINGAN BESAR-BESARAN PUNCA KES BAHARU TAWAU TERTINGGI DI SABAH



23 Jan 2021

TAWAU: Keputusan sampel tertunggak baharu diterima dan program saringan besar-besaran COVID-19 yang dijalankan, merupakan sebab utama Tawau menjadi daerah merekodkan kes baharu tertinggi COVID-19 di Sabah sejak lima hari berturut-turut, terbaharu 24 kes semalam.


Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata terdapat lebih 800 keputusan sampel tertunggak diterima pihaknya sejak seminggu lalu, yakni sampel yang dihantar ke makmal di luar daerah Tawau untuk diproses.


Beliau berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menjalankan ujian saringan besar-besaran terhadap pekerja ladang dan kilang termasuk di Kalabakan sejak dua minggu lepas juga menjadi sebab peningkatan kes itu.


"Program saringan pekerja dijalankan oleh Perkeso melalui klinik panel manakala Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau pula bertindak menyaring kontak rapat pekerja yang didapati positif COVID-19," katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Kesihatan Tawau di sini hari ini.


Katanya pengurusan ladang di sini disaran menyediakan pusat kuarantin, ambulan dan kemudahan kesihatan lain dalam usaha membendung penularan COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja mereka.


Navindran berkata fasiliti itu amat penting memandangkan ladang-ladang berkenaan terletak jauh dari bandar Tawau dengan jarak lebih 100 kilometer dan lokasi ladang juga sukar ditemui. - Bernama