top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SEMBILAN KLUSTER BERKAITAN PEKERJA TAPAK PEMBINAAN DI SABAH



18 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Majikan tapak pembinaan di negeri ini harus melarang para pekerja yang mempunyai simptom daripada hadir bekerja dan mendapatkan rawatan kesihatan segera.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini penting bagi membendung penularan Covid-19 di kalangan para pekerja yang lain.


Beliau berkata, setakat ini sembilan kluster dikenalpasti membabitkan pekerja tapak pembinaan di Sabah dengan 326 individu disahkan positif Covid-19.


“Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Alila mencatatkan 23 kes, Sutera (50 kes), Avenue (110 kes), Highway Pan Borneo (48 kes), Lintas (14 kes), Teluk (30 kes), Bina (25 kes), Plaza (14 kes) dan Kluster Tomher (12 kes),” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, antara faktor utama jangkitan itu ialah kegagalan para pekerja tapak pembinaan mengamalkan penjarakan fizikal dan keadaan tempat tinggal yang sesak.


“Setakat ini kebanyakan pekerja tapak pembinaan yang didapati positif Covid-19 adalah pekerja asing seramai 98 orang iaitu warga Indonesia (80 orang), Filipina (17 orang) dan China (satu orang) serta 12 orang warga tempatan,” katanya.


Bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja tapak pembinaan, Masidi meminta para majikan menyediakan kemudahan tempat tinggal pekerja yang sesuai dengan kemudahan penjagaan kebersihan diri dan tidak sesak.


Selain itu katanya, majikan juga wajib menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua kakitangan sebelum diambil berkerja, menyediakan kemudahan pemeriksaan suhu dan pelaporan kesihatan setiap hari sebelum memulakan kerja.


bottom of page