• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SERAMAI 3,030 BAYI, KANAK-KANAK DIJANGKITI


Gambar Hiasan

20 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 3,030 bayi dan kanak-kanak di bawah 12 tahun di negeri ini dilaporkan dijangkiti Covid-19, setakat kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah ini, kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun adalah seramai 1,241 orang, dengan bayi berumur di bawah 1 tahun adalah seramai 191 orang.


Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sebanyak 12.15 peratus daripada keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini adalah terdiri daripada bayi dan kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Mengenai perkhidmatan sokongan psikososial terhadap kanak-kanak dan individu yang dijangkiti Covid-19, Masidi berkata, Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau Mental Health and Psychosocial Support Service (MHPSS) di bawah JKNS memberikan sokongan dalam bentuk Psychological First Aid (PFA) kepada semua inidividu yang terkesan oleh Covid-19 tanpa mengira umur.


Beliau berkata, perkhidmatan itu diberikan kepada individu yang dijangkiti oleh Covid-19 ataupun dikuarantin dan kepada orang awam serta kakitangan yang terkesan dengan Covid-19.


“Selain itu, orang awam juga boleh mendapatkan perkhidmatan PFA melalui talian hotline MHPSS mengikut daerah masing-masing.


“Kanak-kanak juga diberikan PFA melalui pasukan MHPSS yang akan menghubungi mereka melalui penjaga masing-masing. Sekiranya tidak dapat dihubungi, kanak-kanak ini akan diberikan PFA semasa berada di pusat rawatan.


“Ini bagi memastikan kesihatan mental mereka tidak terjejas. Kanak-kanak yang berada di pusat rawatan diberikan PFA kit yang mengandungi buku-buku dan alat tulis selain daripada kaunseling sekiranya diperlukan,” katanya.


Beliau berkata, aktiviti-aktiviti PFA yang dilakukan bersama dengan kanak-kanak termasuk terapi seni, terapi muzik dan tarian, serta aktiviti bercerita.


“PFA juga diberikan kepada penjaga agar mereka dapat memberikan maklumat terus kepada pasukan MHPSS jika terdapat masalah kesihatan mental.


“Antara masalah yang mungkin dihadapi adalah tekanan termasuk stigma daripada persekitaran kanak-kanak tersebut.


“Penjaga dinasihatkan agar sentiasa memantau keadaan kesihatan mental anak-anak dan terus merujuk kepada pasukan MHPSS jika memerlukan intervensi,” katanya.


Masidi berkata, setakat ini tiada kanak-kanak yang memerlukan intervensi lanjutan yang memerlukan rujukan ke pakar psikiatri.


“Jumlah PFA kit yang telah diedarkan ialah setakat ini adalah sebanyak 977 set.


“Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah menyediakan perkhidmatan sokongan atas talian iaitu tele-kaunseling/ sokongan psikososial Covid-19 kepada mana-mana individu yang menghadapi tekanan atau memerlukan sokongan psikologi akibat Covid-19,” katanya.


Beliau berkata, mana-mana individu yang memerlukan perkhidmatan sokongan atas talian iaitu tele-kaunseling/sokongan psikososial COVID-19 bolehlah mengubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah untuk pertanyaan lanjut.