top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SERAMAI 829 ORANG DISARING, 44 KES POSITIF DI KG.NAHABA, KG.TEGUDON KOTA BELUD



26 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 829 orang telah disaring di Kg.Nahaba dan Kg.Tegudon Kota Belud setakat hari ini (26 November), 44 orang dikesan positif Covid-19 dan 785 orang negatif.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini menjadikan peratusan positif di kedua-dua lokaliti itu sebanyak 5.3 peratus.


Beliau berkata, walaupun kedua-dua kampung berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun seorang wakil keluarga masih dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan asas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).


“Apabila kita laksanakan PKPD, masih ada peluang seorang ahli keluarga untuk keluar bagi urusan yang ada kaitan dengan membeli keperluan asas.


“Kerajaan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga sedang giat menyelaras pengagihan bantuan Bakul Makanan untuk membantu para penduduk di kawasan berkenaan.


“Kerajaan berterima kasih kepada para pemimpin politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan meliputi keperluan makanan basah seperti sayur-sayuran, daging ayam dan ikan serta barangan keperluan harian seperti pampers, sabun dan pelbagai lagi jenis bantuan untuk penduduk di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Ketika ditanya mengenai bantuan kepada para petani di kampung itu yang terjejas ekoran PKPD, Masidi berkata, kerajaan prihatin dan menyedari kesukaran yang dihadapi petani sawah di Kg Nahaba dan Kg. Tegudon yang tidak dapat menuai disebabkan pelaksanaan PKPD.


“Kerajaan negeri ada menyediakan Bantuan Prihatin Covid-19 kepada petani, pekebun, penternak dan nelayan yang berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.


PKPD di kedua-dua lokaliti itu dikuatkuasakan sejak 20 November lalu sehingga 3 Disember ini.

bottom of page