• nabalunews

COVID-19: SUMBANGAN PPE DARI NGO, PERSENDIRIAN DIHARGAI


Gambar Hiasan

3 DIS 2020


TAWAU: Pejabat Kesihatan Tawau amat menghargai keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian dalam menyalurkan sumbangan termasuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada petugas kesihatan di sini.


Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata hampir setiap hari ada sahaja pihak prihatin menyumbangkan PPE untuk digunakan petugas kesihatan yang terlibat dalam pengurusan COVID-19.


"Kita bernasib baik kerana ada yang prihatin, setiap hari memastikan PPE kita ini ada dan bekalan tidak habis, misalnya, kita ada menerima sumbangan PPE daripada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia).


"Sumbangan Haluan Malaysia ini boleh digunakan untuk tempoh dua bulan dan selain itu ramai lagi yang tampil dan berjanji terus memberikan sumbangan PPE," katanya ketika ditemui di sini.


Katanya, keprihatinan semua pihak itu membuktikan rakyat Malaysia bersatu memerangi COVID-19.


Semalam, Haluan Malaysia menyumbang masing-masing 1,000 pelindung kepala, pelindung kasut serta pelindung pakaian kepada petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau.


Setiausaha Haluan Malaysia Sabah, Abdul Rahman Beddu berkata sumbangan tersebut merupakan bantuan bersama daripada Haluan Malaysia Cawangan Terengganu dan IKBN Wakaf Tapai serta disokong penuh oleh Kerajaan Negeri Terengganu.


"Bantuan itu diterbangkan khas melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.


Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata Haluan sebelum ini turut menyumbang pendingin udara, kerusi, makanan dimasak dan kipas angin kepada beberapa buah hospital termasuk Hospital Likas Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Kunak.


Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, Haluan antara NGO yang terkehadapan dalam menyalurkan bantuan berupa pek-pek makanan dan keperluan harian kepada golongan asnaf dan memerlukan.


"Sehingga kini, Haluan telah menjejaki dan menyantuni lebih 2,500 keluarga di lebih 60 kampung di Sabah termasuk di Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud," katanya.


Menurutnya, Haluan bukan sahaja menyalurkan bantuan makanan, tetapi turut memberikan bimbingan, nasihat dan kaunseling dalam kalangan komuniti. – Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com