• Wartawan Nabalu News

COVID-19: TELUPID DAN NABAWAN KINI ZON HIJAU



26 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Daerah Telupid kini dikategorikan sebagai zon hijau menjadikan dua zon hijau Covid-19 di Sabah setakat ini termasuk Nabawan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, bedasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini adalah sebanyak 326 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27,238 kes.


“Sebanyak tiga kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu kes di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daripada 326 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 104 kes atau 31.90 peratus adalah dari saringan kontak rapat melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kota Belud dan Semporna.


“Selebihnya iaitu 222 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya.


Beliau berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 72 kes baharu, Tawau (45 kes), Lahad Datu (41 kes), Tuaran (30 kes), Semporna (26 kes), Kudat (22 kes), Kota Belud (17 kes), Penampang dan Keningau masing-masing 13 kes, Putatan (10 kes), andakan (Sembilan kes), Papar (lapan kes), Beaufort (tujuh kes), Pitas (enam kes), Ranau (empat kes), Beluran (dua kes) dan Tenom (satu kes).


“Manakala daerah Kuala Penyu, Kalabakan, Tambunan, Tongod, Kunak, Kota Marudu, Sipitang, Telupid dan Nabawan tiada kes baharu dilaporkan, hari ini,” katanya.


Masidi berkata, seramai 2,126 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 23,781 orang.


“Sejumlah 2,085 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,442 orang di PKRC.


Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 68 orang dan 23 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.